[Status Hadis Doa Berbuka] Bahagian 4 (Terakhir)

Penulis ARG menyatakan bahawa hadis Muaz bin Zuhrah mempunyai riwayat lain iaitu dari jalur Ibn Abbas dan Anas. Kemudian penulis menyatakan bahawa Mulla Ali al-Qari berpandangan hadis Muaz dikuatkan oleh 2 riwayat ini.

Saya katakan:

1. Telah saya jelaskan tadi bahawa riwayat Muaz bin Zuhrah daif ringan kerana sanadnya terputus (mursal) dan Muaz itu sendiri adalah perawi majhul (tidak dikenali). Untuk menaiktaraf hadis ini kita perlu mencari riwayat yang lebih kuat darinya atau yang setaraf dengannya.

Ibn Hajar al-Asqalani mengisyaratkan bahawa hanya riwayat daif ringan sahaja yang boleh dinaiktaraf jika ada jalur sanadnya yang menyokong. Kata Ibn Hajar:

ومتى تُوبع السيءُ الحفظ بمُعْتَبَر كأن يكون فَوْقَهُ، أو مِثلَهُ، لا دونه، وكذا المختلِط الذي لم يتميز، والمستور، والإِسنادُ المُرْسَلُ، وكذا المدلَّس إِذا لم يُعرف المحذوفُ منه صارَ حديثُهم حَسنا، لا لذاتِهِ، بل وصْفُهُ بذلك باعتبار المجموع، من المتابِع والمتابَع؛ لأن كلَّ واحد منهم احتمالُ أن تكون روايته صوابا أو غير صواب، على حدٍّ سواء، فإِذا جاءت من المُعْتَبَرِين روايةٌ موافِقةٌ لأحدِهِم رجح أحد الجانبين من الاحتمالين المذكورين، وَدَلَّ ذلك على أَنَّ الحديث محفوظ؛ فارتقى من درجة التوقف إلى درجة القبول.
Maksudnya: “Apabila seorang perawi yang lemah ingatannya disokong dengan riwayat seorang yang riwayatnya tidak ditolak contohnya jika dia adalah perawi yang lebih kuat dari perawi pertama, atau sama taraf dengannya dan bukan pula ingatannya lebih teruk dari perawi pertama tadi, begitu juga bagi perawi yang nyanyuk yang tidak boleh bezakan riwayatnya, perawi yang riwayatnya sedikit (tidak dikenali), sanad mursal (terputus) begitu juga (hadis) mudallas yang tidak diketahui perawi yang disembunyikan, maka riwayat semua ini akan menjadi hasan (dengan sokongan). Tetapi bukan hasan lizatih. Sebaliknya sifat hasan itu dengan melihat kepada keseluruhan jalur riwayat dari riwayat penyokong dan riwayat asal. Ini kerana setiap riwayat mereka mempunyai kebarangkalian ia dari Nabi s.a.w atau tidak secara sama (50-50). Apabila datang satu riwayat yang menyamai riwayat asal maka peratus kebarangkalian salah satu dari kebarangkalian yang disebut tadi telah meningkat. Dan ia menunjukkan bahawa hadis ini terpelihara (dari kesilapan) dan ia meningkat dari status tawaqquf (tidak diterima) kepada diterima”. (Ibn Hajar, Nuzhatun Nazar, hlm. 130)

2. Riwayat Anas bin Malik. Riwayat ini tidak boleh membantu menaiktaraf hadis Muaz kerana riwayat Anas terlalu daif. Ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi bernama Daud bin al-Zibriqan. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:
– Kata Yahya bin Maien: Hadisnya tiada nilai.
– Kata Abu Hatim: Daif dalam hadith dan binasa (terlalu daif)
– Kata al–Nasaie: Tidak dipercayai.
– Kata Abu Zur’ah: perawi yang ditinggalkan (riwayatnya).
– Kata Abu Daud: Daif dan hadithnya ditinggalkan.
– Kata Ibn Adi: Hadisnya tidak mempunyai penyokong (dari jalur lain) tetapi hadisnya ditulis.
– Kata al-Bukhari: Hadisnya hampir.
– Kata Ali ibn al-Madini: aku pernah menulis hadisnya kemudian aku buang hadisnya.

Kesemua nukilan ini membuatkan Ibn Hajar menilainya sebagai perawi yang matruk (yang ditinggalkan riwayatnya) dalam kitabnya Taqrib al-Tahzib. Penilaian al-Bukhari dan Ibn Adi tidak terpakai kerana majoriti ulama hadis menilainya terlalu daif.

– Terdapat jalur lain dari Anas iaitu riwayat iaitu riwayat Hasyim bin Said dari Said bin Zarbi dari Tsabit dari Anas. Riwayat ini juga terlalu daif kerana ia munkar. Iaterdapat beberapa illat:

– Hasyim bin Said daif.
– Said bin Zarbi terlalu daif. Kata Ibn Maien: Tiada nilai. Kata al-Bukhari: pada (hadis)nya keajaiban. Kata al-Nasaie: Tidak boleh dipercayai. Kata Ibn Hibban: meriwayatkan hadis palsu dari perawi tsiqat.

3. Riwayat Ibn Abbas. Riwayat ini juga tidak boleh membantu menaiktaraf hadis Muaz kerana riwayat ini terlalu daif. Ini kerana terdapat perawi bernama Abdul Malik bin Harun dalam sanadnya. Berikut komentar ulama hadis terhadapnya:
– Kata al-Bukhari: perawi hadis munkar.
– Kata Abu Hatim: daif, perawi yang ditinggalkan dan binasa.
– Kata Yahya bin Maien: pendusta.
– Kata al-Sa’di: Dajjal, pendusta.
– Kata Ibn Adi: Hadisnya dari ayahnya, dari datuknya dari sahabat ganjil dan tidak mempunyai penyokong.
– Kata Imam Ahmad: daif.
– Kata al-Daraqutni: pendusta.

Kesimpulan: beliau adalah pendusta kerana tidak sedikit ulama hadis menilainya sebagai pendusta dan ia adalah jarh yang mufassar maka perlu didahulukan berbanding penilaian sebahagian ulama bahawa dia daif tanpa dinyatakan sebab. Maka riwayatnya terlalu daif dan tidak boleh digunakan untuk menguatkan hadis Muaz.

4. Saya menjumpai dalam musannaf Ibn Abi Syaibah jalur dari Muhammad bin Fudhail dari Husain dari Abu Hurairah. Tetapi saya menjumpa dalam kitab al-Du’a karya Muhammad bin Fudhail sebenarnya ia bukan Abu Hurairah tetapi Abu Zuhrah. Maka ia adalah riwayat Muaz kerana Abu Zuhrah adalah nama gelaran bagi Muaz. Berlaku tashif pada nama Abu Zuhrah kerana tulisan Abu Zuhrah dan Abu Hurairah agak hampir dalam bahasa arab. Buktinya pentakhrij silam semisal Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir dan Ibn Mulaqqin tidak menyatakan ada riwayat dari Abu Hurairah.

Jika benar dari jalur Abu Hurairah, ia juga tidak membantu kerana Muhammad bin Fudhail meriwayatkannya dari Husain. Ulama hadis menyatakan bahawa Muhammad bin Fudhail mendengar dari Husain setelah beliau nyanyuk. (Rujuk: Nihayah al-Ightibat, hal. 88)

5. Terdapat riwayat dari Ali seperti yang dikeluarkan oleh al-Harith dalam Bughyat al-Bahith dengan matan (teks) yang panjang dan dalamnya terdapat lafaz doa berbuka cuma dengan sedikit tambahan. Berikut lafaznya:

اللهم لك صمت وعليك توكلت وعلى رزقك أفطرت

Hadis ini dinilai palsu oleh al-Suyuti. Ini kerana dalam sanadnya terdapat Hammad bin Amru. Sebahagian ulama menyatakan dia pendusta seperti al-Jauzajani dan Ibn Hibban. Sebahagian yang lain menyatakan dia matruk (terlalu daif) seperti al-Nasaie. Abu Zur’ah menyatakan dia terlalu lemah. Kata al-Bukhari: perawi hadis munkar.

Kesimpulannya, kesemua riwayat ini tidak boleh menaiktaraf hadis Muaz bin Zuhrah kerana kesemuanya tidak terlepas dari kedaifan. Oleh itu, pandangan Mulla Ali al-Qari tidak begitu tepat. Cuma ingin saya tegaskan sekali lagi, doa ini boleh diamalkan kerana ia berkaitan dengan doa. Cuma jangan disandarkan kepada Nabi saw secara pasti sahaja. Wallahua’lam.

Dr Rozaimi Ramle

5,626 total views, 4 views today

Komentar