Saya sering melihat terdapat beberapa orang yang cuba mengambil mudah ketika mentafsirkan kalam ulama dalam penilaian hadis. Umpamanya jika ada sebilangan mengatakan hadis itu munkar (daif berat atau tersangat daif), tiba-tiba al-Baihaqi menilainya daif sahaja maka bersoraklah sebahagian pembela hadis tersebut dengan mengatakan:

Tidak mengapa, al-Baihaqi kata ia daif sahaja.

Maka, mereka seolah mengambil mudah kononnya al-Baihaqi menilainya sebagai daif ringan. Saya ingin tegaskan bahawa apabila terdapat percanggahan penilaian begini sebenarnya ia hanya percanggahan zahir sahaja. Ini kerana hadis daif mempunyai beberapa bahagian iaitu palsu, daif berat dan daif ringan. Maka apabila penilaian al-Baihaqi daif semata maka perlu ditafsirkan dengan melihat keadaan sanadnya sebelum mengatakan ia daif ringan. Ini kerana perkataan daif semata boleh merujuk kepada 3 makna. Saya bawakan bukti bahawa perkataan al-Baihaqi “daif” serta boleh bermaksud daif berat:

1. Kata al-Baihaqi:

هذا إسناد ضعيف بمرة فإن طلحة بن زيد الرقي متروك الحديث متهم بالوضع

Maksudnya: Isnad (sanad hadis) ini DAIF semata. Sesungguhnya Tolhah bin Zaid al-Riqqi matruk al-hadith (ditingalkan hadisnya) dan DITUDUH BERDUSTA. (Syu’ab al-Iman, jil. 6, hal. 463)

Jelas sekali hadis ini terlalu daif kerana perawinya dituduh berdusta tetapi al-Baihaqi menilainya daif.

2. Kata al-Baihaqi lagi:

فهذا إسناد ضعيف مسلمة بن علي الخشني متروك

Maksudnya: Sanad ini DAIF, Maslamah bin Ali al-Khusyani matruk (perawi yang ditinggalkan hadisnya/daif berat) (Syu’ab al-Iman, jil. 4, hal. 379)

3. Kata al-Baihaqi:

وروي بإسناد ضعيف عن أبان بن أبي عياش عن عكرمة عن ابن عباس مرفوعا وأبان متروك

Maksudnya: Diriwayatkan dengan sanad daif dari Aban bin Abi Ayyasy dari Ikrimah dari Ibn Abbas secara marfu’ (dari Nabi sallallah alaih wasallam) dan Aban matruk (perawi yang ditinggalkan hadisnya/daif berat). (al-Sunan al-Kubra, jil. 1, hal. 12)

4. Kata al-Baihaqi:

وهذا ضعيف لا أعلمه رواه عن الأعمش غير يحيى بن هاشم ويحيى بن هاشم متروك الحديث

Maksudnya: Dan (hadis) ini DAIF, saya tidak tahu yang meriwayatkannya dari al-A’masy melainkan Yahya bin Hasyim dan Yahya bin Hasyim adalah perawi yang matruk (perawi yang ditinggalkan hadisnya/daif berat). (al-Sunan al-Kubra, jil. 1, hal. 44)

ٍSemua nukilan dari al-Baihaqi ini menunjukkan bahawa jika beliau menilai daif semata sesebuah hadis, kita tidak boleh sewenangnya mentafsirkan ia adalah daif ringan terutamanya apabila ada ulama hadis lain menilainya daif berat. Sebaliknya kita mesti meneliti sebab kedaifan dengan meneliti biografi perawi dalam sanad hadis. Wallahua’lam.

Dr. Rozaimi Ramle
Rabu
4 May 2016

3,858 total views, 2 views today

Komentar