Saya ternampak poster ini tersebar di alam maya yang menyatakan al-Albani menganggap Nabi sallallah ‘alaih wasallam bukanlah makhluk terbaik. Saya nukilkan kalam beliau dari kitab al-Tawassul:
وأمر ثالث وأخير أن الدكتور قد ادعى أن النبي صلى الله عليه و سلم أفضل الخلائق عند الله على الإطلاق . وهذه عقيدة وهي لا تثبت عنده إلا بنص قطعي الثبوت قطعي الدلالة أي بآية قطعية الدلالة أو حديث متواتر قطعي الدلالة أي بآية قطعية الدلالة أو حديث متواتر قطعي الدلالة فأين هذا النص الذي يثبت كونه صلى الله عليه و سلم أفضل الخلائق عند الله على الإطلاق ؟
 ومن المعلوم أن هذه القضية مختلف فيها بين العلماء وقد توقف فيها الإمام أبو حنيفة رحمه الله تعالى ومن شاء التفصيل فعليه بشرح عقيدة الإمام أبي جعفر الطحاوي الحنفي رحمه الله طبعة المكتب الإسلامي بتحقيقي
Maksudnya: “Dan perkara ketiga dan terakhir ialah Dr. al-Bouty mendakwa bahawa Nabi sallallah ‘alaih wasallam adalah sebaik-baik makhluk di sisi Allah secara mutlak. Ini merupakan akidah yang mana ia tidak sabit di sisinya melainkan dengan nas qatie al-subutdan qatie al-dalalah iaitu ayat (al-Quran) yang qatie al-dalalah atau hadis mutawatir yang qatie al-dalalah. Di mana nas yang menyatakan Nabi sallallah ‘alaih wasallam adalah sebaik-baik makhluk di sisi Allah secara mutlak? (Sedangkan) telah diketahui bahawa perkara ini adalah khilaf dalam kalangan ulama dan Abu Hanifah sendiri tawaqquf (tidak memutuskan sesuatu) dalam perkara ini. Sesiapa yang inginkan penjelasan terperinci maka dia perlu rujuk syarah akidah al-Imam Abu Jaafar al-Tahawiy al-Hanafiy cetakan al-Maktab al-Islamiy dengan suntinganku”.
Setelah meneliti kalam al-Albani ini saya dapat simpulkan seperti berikut:
1. al-Albani sedang membincangkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh al-Bouty dalam isu tawassul dan tabarruk selepas kewafatan Nabi sallallah ‘alaih wasallam. al-Bouty telah mengemukakan satu dalil yang membolehkan tawassul iaitu baginda adalah sebaik-baik makhluk.
2. al-Albani menyatakan tanaqudh (kontradiksi) dalam pandangan al-Bouty. Ini kerana al-Bouty antara ulama yang menyatakan perkara akidah perlu sabit dengan dalil yang qatie. Oleh itu, al-Albani bertanya di mana dalil qatie dalam isu Nabi sallallah ‘alaih wasallam adalah sebaik-baik makhluk? Jika tidak ada maka al-Bouty telah melakukan kontradiksi dalam pandangan beliau.
3. Untuk menguatkan pandangan beliau bahawa tiada dalil qatie dalam isu, al-Albani menyatakan bahawa ulama sendiri berbezza pandangan dalam isu ini dan Imam Abu Hanifah sendiri tidak membuat apa-apa tarjihan (tawaqquf) adakah Nabi sallallah ‘alaih wasallam itu sebaik-baik makhluk secara mutlak atau malaikat.
4. Terdapat golongan yang menyimpulkan bahawa al-Albani telah mencampur-adukkan antara perbahasan perbandingan antara malaikat dan nabi-nabi siapakah yang lebih afdhal secara umum dan persoalan adakah nabi Muhammad sebaik-baik makhluk secara khusus. Hujah mereka ialah beberapa orang ulama seperti al-Baijuri, al-Subky dan al-Suyuti telah menyatakan bahawa telah berlaku IJMAK dalam kalangan ulama bahawa Nabi Muhammad adalah sebaik-baik makhluk dan baginda dikecualikan daripada perbahasan perbandingan antara nabi-nabi dan malaikat. Ini bermakna ulama seperti al-Baqillani yang memilih pandangan malaikat lebih afdhal dari nabi-nabi tetap percaya bahawa nabi Muhammad sebaik-baik makhluk disebabkan pengecualian ini.
5. Tetapi satu persoalan yang timbul di sini iaitu benarkah wujudnya IJMAK yang didakwa? Saya menjumpai teks Ibn Hazm dalam kitabnya al-Fasl fi al-Milal:

قال أهل الحق أن الملائكة أفضل من كل خلق خلقه الله تعالى ثم بعدهم الرسل من النبيين عليهم السلام ثم بعدهم الأنبياء غير الرسل عليهم السلام ثم أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم على ما رتبنا قبل

Maksudnya: Ahli kebenaran berkata: Sesungguhnya malaikat lebih afdhal daripada semua makhluk yang Allah Taala ciptakan, kemudian rasul-rasul dari kalangan Nabi-nabi kemudian nabi-nabi selain rasul, kemudian shabat-sahabat nabi sepertimana yang kita nyatakan susunannya sebelum ini.

Teks ini jelas menggambarkan bahawa Ibn Hazm berpandangan malaikat lebih afdhal daripada semua makhluk termasuk nabi Muhammad sallallah alaih wasallam. Buktinya ialah teks Ibn Hazm yang berikut ketika meneruskan lagi perbincangannya dengan berkata:

وأفضل الرسل محمد صلى الله عليه و سلم أما فضل الملائكة على الرسل من غير الملائكة فلبراهين منها قول الله عز و جل أمر الرسول صلى الله عليه و سلم أن يقول قل لا أقول لكم عندي خزائن الله ولا أعلم الغيب ولا أقول اني ملك أن أتبع إلا ما يوحى إلي فلو كان الرسول أرفع من الملك أو مثله ما أمر الله تعالى رسوله صلى الله عليه و سلم أن يقول لهم هذا القول

Maksudnya: “Sebaik-baik rasul ialah Muhammad sallallah alaih wasallam. Manakala kelebihan malaikat ke atas rasul-rasul (Manusia) yang bukan malaikat ialah kerana bukti-bukti antaranya firman Allah azza wa jalla yang memerintahkan Nabi sallallah alaih wasallam untuk berkata: “Katakanlah (wahai Muhammad) Aku tidak berkata kepada kamu (semua) bahawa di sisiku khazanah-kahazanah Allah, aku juga tidak mengetahui perkara ghaib dan aku juga tidak mengatakan aku ini malaikat. Aku tidak mengikut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Jika Nabi Muhammad lebih tinggi (kedudukannya) berbanding malaikat ataupun setara dengannya sudah pasti Allah tidak akan memerintahkannya untuk mengatakan kalam ini”.

Banyak lagi dalil-dalil yang dikemukakan oleh Ibn Hazm untuk membuktikan bahawa Malaikat lebih afdhal dari Nabi Muhammad sallallah alaih wasallam. (Rujuk: al-Fasl, jld. 5, hlm. 15) Oleh itu, zahir pada saya ijmak yang didakwa tidak begitu tepat kerana wujudnya khilaf di sini.

4. Justeru pada saya apa yang jelas adalah al-Albani memilih pandangan Ibn Hazm dalam isu ini yang tidak mengecualikan Nabi Muhammad dari perbandingan antara malaikat dan rasul secara umum.

5. Namun begitu, apa yang pasti al-Albani tidak membuat sebarang tarjihan dalam teks yang saya nukilkan di atas. Sebaliknya beliau hanya menyatakan isu ini ada khilaf dalam kalangan ulama dan saya telah buktikan adanya khilaf dalam isu ini. Dan apa yang saya lihat al-Albani menyebut perkataan ini di akhir tahqiq beliau ke atas kitab Raf’ al-Astar:

وصلى الله على خير خلقه محمد
Maksudnya: Allah berselawat ke atas sebaik-baik makhlukNya Muhammad.

6. Jika difahami dari teks dalam kitab al-Tawassul bahawa al-Albani menafikan Nabi Muhammad sebaik-baik makhluk  maka ia dikategorikan sebagai dalalah al-Mafhum. Sedangkan dalam tahqiq beliau kepada kitab Raf’ al-Astar secara jelas beliau sebutkan baginda sebaik-baik makhluk. Maka apabila berlaku percanggahan maka perlu didahulukanal-Mansus iaitu apa yang beliau nyatakan secara jelas.

– Persoalan lain timbul pula iaitu apa faedahnya menimbulkan isu khilaf jika beliau memilih pandangan Nabi Muhammad sebaik-baik makhluk?
– Apa yang saya lihat beliau timbulkan isu ini ialah kerana ingin menyanggahi pendapat al-Bouty kerana al-Bouty mensyaratkan dalil qatie untuk mensabitkan sesuatu dalam akidah. Tetapi al-Albani terlepas pandang di sini. Ini kerana perkara ini bukanlah usul akidah maka dalil dzanni diterima. wallahua’lam.

7. Jika benar al-Albani menafikan nabi sebaik-baik makhluk maka pandangan beliau sama seperti pandangan Ibn Hazm.

8.Tetapi perlu diingat, walaupun Ibn Hazm dan al-Albani memilih untuk menyatakan malaikat lebih afdhal dari Nabi Muhammad ia bukan bererti mereka ingin merendah-rendahkan baginda. Bahkan bagi mereka baginda adalah sebaik-baik rasul.

* Saya tidak ada apa-apa kepentingan dalam isu ini melainkan ingin menyatakan kekeliruan yang ditimbulkan oleh puak-puak yang seperti memusuhi al-Albani apabila mempunyai beberapa perbezaan pendapat dengan beliau. Kita sering menyatakan bahawa al-Albani dan konco-konconya tidak berlapang dada dalam isu khilaf, membidaahkan orang, menyesatkan orang. Cuba kita nilai semula pendirian kita terhadap orang lain apabila kita berkhilaf. Adakah kita amanah dalam menukil atau kita kita telah memfitnah orang yang telah meninggal dunia? Apa yang pasti saya memilih untuk menyatakan Nabi Muhammad adalah sebaik-baik makhluk.

2,956 total views, 3 views today

Komentar