Benarkah Humaira’ Itu Gelaran Bagi Ummul Mukminin Aisyah?

Dec 15, 2013 | Hadis, Status Hadis | 0 comments

Ada yang bertanya saya tentang status gelaran Humaira’ kepada Aisyah. Dalam penulisan kali ini saya akan menyatakan status hadis-hadis yang terdapat lafaz Humaira’ kepada Aisyah radhiallah anha:

1. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

وكل حديث فيه يا حميراء أو ذكر الحميراء فهو كذب مختلق

Maksudnya: Semua hadis yang ada (lafaz) wahai Humaira’ atau sebutan Humaira’ adalah dusta dan rekaan. (al-Manar al-Munif, hlm. 60)

2. Kata al-Zahabi:

وقد قيل: إن كل حديث فيه: يا حميراء، لم يصح، وأوهى ذلك تشميس الماء

Maksudnya: Dikatakan bahawa hadis yang ada lafaz: wahai humaira’ tidak sahih dan hadis yang paling lemah ialah hadis tentang air musyammas. (siyar a’lam al-nubala’, jld. 3, hlm. 146)

3. Kata al-Mizzi:

كل حديث فيه يا حميراء فهو موضوع إلا حديثا عند النسائي

Maksudnya: Hadis yang ada lafaz wahai Humaira’ adalah palsu kecuali satu hadis di sisi al-Nasaie. (al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudhu’, hlm. 212)

4. Kata Ibn Hajar selepas membawakan hadis riwayat al-Nasaie:

إسناده صحيح ولم أر في حديث صحيح ذكر الحميراء إلا في هذا

Maksudnya: Sanadnya sahih dan aku tidak menjumpai hadis sahih yang mempunyai sebutan al-Humaira’ melainkan hadis ini. (Fath al-Bari, jld. 2, hlm. 444)

* Hadis riwayat al-Nasaie yang dimaksudkan ialah:

عن عائشة، زوج النبي صلى الله عليه وسلم قالت: دخل الحبشة المسجد يلعبون فقال لي: يا حميراء أتحبين أن تنظري إليهم فقلت: «نعم، فقام بالباب وجئته فوضعت ذقني على عاتقه فأسندت وجهي إلى خده» قالت: «ومن قولهم يومئذ أبا القاسم طيبا» فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «حسبك» فقلت: يا رسول الله لا تعجل، فقام لي ثم قال: «حسبك» فقلت: «لا تعجل يا رسول الله» قالت: «وما لي حب النظر إليهم، ولكني أحببت أن يبلغ النساء مقامه لي ومكاني منه»

Terdapat satu lagi hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan lafaz berikut:

عن أم سلمة رضي الله عنها قالت : ذكر النبي صلى الله عليه و سلم خروج بعض أمهات المؤمنين فضحكت عائشة فقال : انظري يا حميراء أن لا تكوني أنت ثم التفت إلى علي فقال : إن وليت من أمرها شيئا فارفق بها

Dari Umm Salamah: Nabi sallallah ‘alaih wasallam menceritakan tentang akan keluarnya sebahagian isteri-isterinya, maka Aisyah pun ketawa. Nabi sallallah alaih wasallam bersabda: Lihatlah Aisyah supaya yang keluar itu bukan kamu. Kemudian baginda memandang Ali lantas berkata: Jika kamu dilantik untuk menguruskannya maka berlemah lembutlah dengannya.

Ulama hadis berbeza pendapat tentang status hadis ini.

1. al-Hakim dan al-Zurqani menyatakan ia sahih. (Lihat: Tuhfat al-Tolib bi Ma’rifat Ahadith Ibn al-Hajib, hlm. 142)

2. Sebahagian ulama hadis terkini mendaifkan hadis ini seperti syeikh Syahatah Muhammad Saqar, Syeikh Saad al-Humaid dan Abdul Rahman Muhammad Said Dimasyqiah. (Lihat: Ummuna Aisyah, hlm. 60, Ahadith Yahtajj biha al-Syiah, jld. 1, hlm. 170):

Setelah meneliti sanad hadis ini saya mendapati hadis ini daif kerana 2 sebab:

1. Salah seorang perawi hadis ini iaitu Abdul Jabbar ibn al-Ward dipertikaikan ingatannya. Tambahan pula beliau menyendiri (tafarrud) dalam riwayat ini. Oleh itu Ibn Kathir menyatakan hadis ini terlalu gharib (ganjil). (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 6, hlm. 212)

2. al-‘Alaie menukilkan pendapat yang menyatakan Salim bin Abi al-Ja’d meriwayatkan hadis ini dari Umm Salamah sedangkan beliau tidak pernah mendengar darinya. Ini bermakna hadis ini sanadnya terputus. (Lihat: Jami’ al-Tahsil,jld. 1, hlm. 179)

Kesimpulannya:

Hadis yang sahih yang terdapat lafaz Humaira’ ialah hadis riwayat al-Nasaie. Maka gelaran itu sabit bagi beliau dan ia bermaksud kulit yang kemerah-merahan. Bukan bermaksud himar kecil seperti yang dicangkan oleh Syiah. Bukanlah maksud saya untuk merendah-rendahkan Umm al-Mukminin Aisyah dengan perbincangan seperti ini. Beliau adalah ibu kita yang agung bahkan beliau adalah antara Fuqaha’ dalam kalangan sahabat Nabi sallallah alaih wasallam. Tetapi maksud saya ialah memberi kaedah kepada kita supaya dapat menilai hadis yang ada dalamnya lafaz Humaira’ iaitu jika ada hadis lain yang ada lafaz ini maka kita boleh agak statusnya. Wallahua’lam.

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
2.04 petang
15 Disember 2013

2,431 total views, 3 views today

Komentar