Benarkah Hadis Menyatakan Obama Akan Meruntuhkan Kaabah?

Sep 6, 2013 | Hadis, Status Hadis | 0 comments

Telah tersebar di alam maya bahawa terdapat hadis yang menyatakan seorang Habsyah akan meruntuhkan Kaabah. Maka terdapat beberapa pihak yang cuba mengaitkan hadis ini dengan apa yang berlaku di Asia Barat sekarang iaitu Barrack Obama cuba untuk melakukan kekacauan kemudian berusaha untuk merobohkan Kaabah. Justeru, timbul persoalan adakah Obama (Presiden Amerika Syarikat) yang dimaksudkan oleh hadis berkenaan?

Untuk menjawab persoalan ini, perkara berikut perlu dijelaskan:

1. Hadis tentang lelaki Habsyah merobohkan Kaabah itu memang sahih. Imam Bukhari meriwayatkannya dengan lafaz berikut:

«يُخَرِّبُ الكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الحَبَشَةِ»

Maksudnya: Kaabah akan dirosakkan oleh seorang Habsyah yang berbetis kecil. (no. hadis: 1596)

2. Sifat lelaki Habsyah yang merobohkan Kaabah juga disebut dalam beberapa hadis.

i. Berbetis kecil seperti dalam hadis yang disebut di atas.

ii. Renggang antara dua betis (kengkang). Lafaz hadisnya dalam sahih Bukhari:

«كَأَنِّي بِهِ أَسْوَدَ أَفْحَجَ، يَقْلَعُهَا حَجَرًا حَجَرًا»

Maksudnya: Seolah-olah aku melihatnya (berkulit) hitam dan renggang dua betisnya ketika merobohkannya (Kaabah) satu batu demi satu batu. (no. hadis: 1595)

iii. Dia merobohkan Kaabah dengan meruntuhkan batunya satu persatu seperti hadis di atas.

iv. Terdapat hadis yang menyatakan sifat Habsyah itu kepalanya botak di sebelah hadapan dan jarinya bengkok. Hadisnya seperti berikut:

Sabda Nabi sallallah alaih wasallam:

” يُخَرِّبُ الْكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الْحَبَشَةِ، فَيَسْلُبُهَا حُلِيَّهَا وَيُجَرِّدُهَا مِنْ كِسْوَتِهَا، كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ أُصَيْلِعَ أُفَيْدِعَ، يَضْرِبُ عَلَيْهَا بِمِسْحَاتِهِ وَمِعْوَلِهِ ”

Maksudnya: Kaabah akan diruntuhkan oleh seorang yang berbetis kecil dari bangsa Habsyah. Dia akan merampas perhiasan Kaabah dan menanggalkan kelambunya. Seolah-olah aku melihatnya (hari ini) botak hadapan dan berjari bengkok memukulnya dengan kapak

Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Ahmad Syakir. Syuaib al-Arnaut menyatakan lafaz yang menceritakan sifat Habsyah ini diriwayatkan secara mauquf dari Amr bin al-As dan riwayat mauquf lebih sahih dari marfu’. Cuma saya berpandangan jika riwayat mauquf lebih sahih ia tetap mengambil hukum hadis marfu’ kerana riwayat ini termasuk dalam perkara ghaib. al-Albani pula menyatakan Ibn Kathir berpandangan sanad hadis ini kuat. Ini kerana walaupun terdapat perawi yang bernama Ibn Ishaq yang meriwayatkan hadis ini tanpa menyatakan dengan lafaz  mendengar yang sarih sedangkan beliau mudallis tetapi ia dikuatkan dengan hadis-hadis lain (syawahid) dalam bab ini. (Lihat: Sahih Ibn Hibban, jld, 2, hlm. 220, al-Silsilah al-Sahihah, jld. 6, hlm. 555)

Walaubagaimana pun saya beranggapan hadis ini DAIF kerana ia menyatakan tambahan sifat yang tidak terdapat dalam hadis-hadis lain dalam bab ini. Wallahua’lam.

3. Soalan seterusnya yang perlu dijawab ialah bilakah berlakunya peristiwa runtuhan Kaabah ini berlaku? Terdapat hadis yang memberi isyarat tentang bila berlakunya peristiwa ini:

( يبايع لرجل بين الركن والمقام ولن يستحل هذا البيت إلا أهله فإذا استحلوه فلا تسل عن هلكة العرب ثم تظهر الحبشة فيخربونه خرابا لا يعمر بعده أبدا وهم الذين يستخرجون كنزه )

(Hadis riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim. Disahihkan oleh Syuaib al-Arnaut dan al-Albani. (Lihat: Sahih Ibn Hibban, jld, 15, hlm. 239, al-Silsilah al-Sahihah, jld. 2, hlm. 78)

Maksudnya: Akan dibai’ah seorang lelaki (Imam Mahdi) di antara al-Rukun dan Maqam Ibrahim. Kaabah tidak akan (mula) dicemari melainkan dari ahlinya (orang-orang Islam). Apabila ia dicemari jangan kamu tanya lagi tentang kehancuran bangsa Arab. Kemudian datangnya Habsyah dan mereka akan merobohkan Kaabah sehinggakan ia tidak boleh dibina semula lagi selama-lamanya. Merekalah yang mengeluarkan harta yang terdapat di dalamnya.

Ibn Hajar menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku apabila tidak ada lagi dalam dunia mereka yang menyebut Allah. Bahkan al-Qurtubi menyatakan peristiwa ini berlaku selepas diangkatnya al-Quran iaitu selepas kematian Nabi Isa alaih al-Salam. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jld. 3, hlm. 461, al-Tibrizi, Misykat al-Masabih, jld. 9, hlm. 1006)

Ini menunjukkan peristiwa ini berlaku setelah munculnya Imam Mahdi. Justeru pada saya untuk menyatakan secara pasti bahawa Habsyah yang diceritakan dalam hadis sebagai Obama sedangkan Imam Mahdi belum muncul adalah satu pandangan yang KURANG TEPAT.

4. Sebagai kesimpulannya saya ingin menyeru kepada penuntut ilmu agama agar berhati-hati sebelum mengaitkan mana-mana peristiwa yang berlaku dalam dunia ini dengan hadis-hadis akhir zaman. Memang tidak dinafikan bahawa pebuatan mengaitkan peristiwa yang berlaku dengan hadis-hadis seperti ini tidaklah dilarang secara mutlak bahkan para sahabat Nabi sallallahu alaih wasallam juga melakukannya. Tetapi proses ini mesti dilakukan dengan melihat keseluruhan hadis dalam bab berkaitan, meneliti laras bahasa yang diucapkan Nabi sallallahu alaih wasallam supaya kita tidak mentafsirkannya dengan sesuatu yang tidak dimaksudkan oleh baginda. Sifat terlalu gopoh untuk mengaitkan peristiwa yang berlaku hari ini dengan hadis akhir zaman juga harus dijauhi kerana gopoh kadang-kadang kita terlepas pandang akan perbezaan antara peristiwa yang berlaku dan hadis. Lihat bagaimana reaksi Sufyan al-Thauri ketika ditanya oleh Hafs bin Ghiyath: Wahai Abu Abdallah, manusia banyak bercakap tentang munculnya Imam Mahdi, apa yang engkau katakan? Jawab beliau: Jika dia (Imam Mahdi) berdiri di depan pintu rumah engkau, jangan engkau melakukan apa-apa (tidak perlu berbai’ah) sehingga semua manusia bersatu melantiknya. (Lihat: Abu Nuaim, Hilyat al-Auliya’, jld. 7, hlm. 31) Ini kerana hadis-hadis Mahdi menyatakan antara tanda Mahdi itu ialah seluruh manusia bersetuju melantiknya sebagai pemimpin mereka. (Lihat: Abdullah bin Soleh al-‘Ujairiy, Ma’alim wa Manarat fi Tanzil Ahadith al-Malahim wa al-Fitan wa Asyrat al-Sa’ah ‘ala al-Waqai’ wa al-Hawadith, hlm. 132)

Abu Muaz Muhamad Rozaimi bin Ramle,
Sweileh, Jordan
6 September 2013
8.00 malam

1,894 total views, 4 views today

Komentar