Isu Perlakuan Syirik Dalam Masjid/Surau: Satu Penilaian

Aug 14, 2013 | Aqidah, Ilmu | 0 comments

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan isu puak-puak Buddha melakukan upacara meditasi di dalam sebuah surau. Maka apabila timbul isu sebegini ia pasti mengundang pelbagai reaksi dan pandangan ramai. Sudah pasti ada yang marah dan ada juga yang tidak merasa apa-apa kerana pada pandangannya Islam meraikan perbezaan agama. Saya tidak mengetahui maklumat terperinci tentang isu yang berlaku di surau tersebut. Sebaliknya saya ingin menghuraikan pandangan saya terhadap hukum membenarkan orang kafir melakukan upacara keagamaan mereka di tempat ibadat kaum muslimin. Untuk menghuraikan kekusutan tersebut perkara berikut harus dijelaskan:
1. Tidak dinafikan Islam meraikan kebebasan beragama. Bahkan Nabi sallallah ‘alaih wasallam sendiri membenarkan beberapa puak yahudi seperti Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ dan Bani al-Nadhir untuk tinggal di bawah pemerintahannya tanpa dipaksa untuk menganut Islam. Islam juga menjelaskan bahawa iman orang yang dipaksa itu tidak sah. Firman Allah:
لا إكراه في الدين
Maksudnya: Tiada paksaan dalam beragama.
2. Walaupun Islam meraikan kebebasan beragama tetapi ia tidak bermakna Islam mengiktiraf kebenaran agama lain. Islam tetap menyatakan bahawa hanya ia adalah agama yang benar dan diterima oleh Allah. Walaupun Islam melarang penganutnya mengutuk sembahan penganut agama lain seperti dalam firman Allah:
ولا تسبوا الذين يدعون من دون الله فيسبوا الله عدواً بغير علم
Maksudnya: Jangan kamu mencerca sembahan-sembahan orang yang menyembah selain Allah kelak nanti mereka akan mencerca Allah secara melampaui batas dan tanpa ilmu pengetahuan. (al-An’am: 108)
Tetapi ia tidak bermakna Islam mengiktiraf kebenaran ajaran mereka sebaliknya larangan ini merupakan sad al-zarai’ (penutup jalan) supaya mereka tidak mencerca Allah pula. Ini bermakna larangan mencerca sembahan orang kafir bertujuan untuk mengelakkan berlakunya mudarat yang lebih besar. (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, jld. 2, hlm. 200)
3. Perlu diketahui bahawa syirik merupakan musuh utama bagi agama Islam. Ini kerana Islam berdiri di atas paksi TAUHID iaitu mengesakan Allah. Oleh itu, Islam menganggap perbuatan syirik adalah satu kezaliman yang amat besar sehinggakan sesiapa yang mati dalam keadaan syirik dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Disebabkan perbuatan syirik ini mudah menular dalam masyarakat maka Islam melarang banyak perkara yang boleh membawa kepada syirik seperti solat menghadap kubur, ukiran patung (kecuali patung kanak-kanak), menenung nasib dan sebagainya.
4. Tidak dinafikan ada pihak yang cuba menyatakan bahawa orang kafir boleh melakukan upacara syirik mereka di dalam masjid atau surau. Mereka berhujah bahawasanya Nabi sallallah ‘alaih wasallam sendiri pernah membenarkan puak kristian Najran untuk melakukan solat mereka di Masjid Nabawi.
Berikut adalah komentar saya terhadap dalil ini:
i. Riwayat ini sebenarnya daif sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dari perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi sallallah ‘alaih wasallam. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabiin kecil sahaja (sighar al-tabiin). (Lihat: Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 471)
ii. Walaupun ada sebahagian ulama menggunakan dalil ini seperti Ibn Qayyim al-Jauziyyah untuk membenarkan upacara ibadat orang kafir dilakukan dalam masjid tetapi beliau meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin. (Lihat: Ibn Qayyim, Zad al-Ma’ad, jld 3, hlm. 557) Buktinya tiada riwayat lain yang menyatakan Nabi sallallah ‘alaih wasallam membenarkan orang kafir melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.

iii. Nabi sallallah ‘alaih wasallam membenarkan mereka melakukan upacara keagamaan mereka di dalam Masjid Nabawi setelah baginda berhujah dengan mereka tentang kebatilan akidah mereka. Justeru, menyewakan masjid atau surau yang menjadi tempat ibadat kaum muslimin kepada orang kafir untuk dijadikan tempat mereka melakukan upacara keagamaan mereka secara berjadual tanpa berhujah dengan mereka adalah tindakan yang menyalahi pemahaman sebenar riwayat ini.

Kesimpulan

Saya berpandangan bahawa umat Islam sepatutnya tidak membenarkan orang kafir melakukan upacara syirik di dalam masjid atau surau. Ini kerana Islam tidak membenarkan kita tolong-menolong dalam perkara dosa dan tidak ada dosa yang lebih besar daripada syirik. Tambahan pula riwayat tentang Nabi sallallah ‘alaih wasallam membenarkan kristian Najran solat di Masjid Nabawi itu daif. Tetapi hukum ini dikecualikan jika ada kepentingan yang besar seperti wujudnya harapan orang itu akan masuk Islam maka dibenarkan dengan syarat tidak dijadikan rutin. Wallahua’lam.

Abu Muaz Rozaimi Ramle

5.40 pagi, Muar Johor
14 Ogos 2013

1,401 total views, 3 views today

Komentar