Haram Makan dan Minum Menggunakan Bekas Emas dan Perak

Apr 5, 2013 | Fiqh, Ilmu | 0 comments

Benda pertama yang akan saya lakukan adalah minum dalam bekas minuman paling mahal di Malaysia,” itulah reaksi seorang pemenang Peraduan Nescafe Gold Mug anjuran Nestle Products Sdn Bhd, yang menerima hadiah eksklusif kole emas bernilai RM100,000 sebagaimana dilapor dalam surat khabar metro. Kami agak tersentak dengan kenyataan yang dibuat oleh puan ini. Walaupun agama meminta agar hambanya bersyukur jika dikurniakan nikmat tetapi cara bersyukur juga mestilah bertepatan dengan ajaran agama. Ringkasnya, minum dalam kole emas itu bukanlah suatu yang dibenarkan Syarak.

Sebenarnya, isu menggunakan emas sebagai bekas, hiasan dan sebagainya sudah lama berlaku. Kita pernah didedahkan dengan seunit tandas bertatahkan emas yang dijual di Hong Kong dengan  harga USD 4.8 juta, tab mandi diperbuat daripada emas, bilik mandi daripada emas dan lain-lain.

Jika kita merujuk ajaran Islam, ia mengajar penganutnya bersederhana dalam kehidupan walaupun ketika bersyukur. Ia juga mengajar penganutnya bahawa dunia ini hanyalah sementara dan tempat mencari bekalan untuk dibawa ke akhirat.  Dalam konteks perhiasan dan alatan yang digunakan sehari-hari, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar dipatuhi penganutnya. Panduan ini termuat dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. antaranya. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu memakai sutera, al-dibaj (sutera bercorak), jangan kamu minum menggunakan bekas emas dan perak dan jangan pula kamu makan di dalam mangkuk yang diperbuat daripada keduanya kerana ia adalah untuk mereka (orang kafir) di dunia manakala ia adalah untuk kamu di akhirat”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam Sabdanya yang lain Nabi S.A.W.: “Barang siapa yang  minum menggunakan bekas perak atau emas, seolah-olah ia menuangkan api neraka Jahannam ke dalam perutnya”. (Hadis riwayat Muslim). al-Barra bin Azib ada meriwayatkan hadis, katanya: “Rasulullah melarang kami dari minum dalam bekas emas, sesiapa yang meminum dalam bekas emas di dunia tidak akan minum dengannya di akhirat”. Para ulama juga berijmak (berlaku kesepakatan) dalam pengharaman mengunakan bekas emas dan perak ini. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Kaum muslimin berijmak terhadap pengharaman makan dan minum menggunakan bekas emas dan perak ke atas lelaki dan perempuan”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jld. 14, hal. 27, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi).

Bukan minum sahaja yang haram malah termasuklah menyimpannya sebagai perhiasan rumah. Hukum ini diperkukuhkan dengan satu kaedah fiqh yang menyebutkan: “apa-apa yang haram penggunaannya, haram jugalah menyimpannya sebagai perhiasan” sama ada di rumah, pejabat dan lain-lain. Pengharaman meminum, menyimpan sebagai perhiasan bukan sahaja haram kepada lelaki malah perempuan juga walaupun asalnya mereka dibenarkan memakai emas. Tetapi jika digunakan sebagai perhiasan rumah dan kole atau bekas minuman atau makanan, ia menjadi haram walaupun untuk berwuduk. Begitu juga haram jika dibuat jam emas, pen emas, kotak abu rokok dan lain-lain. (al-Qaradhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, h.82).

Dalam pengharaman itu terdapat kelonggaran iaitu kaum lelaki dibolehkan memakai cincin perak. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh hadis Bukhari daripada Ibn Umar r.a.

Mungkin hikmahnya ialah supaya setiap muslim yang hidup di atas muka bumi tidak menjadikan dunia sebagai tujuan utamanya. Sebaliknya, dunia ini hanyalah persinggahan untuk mencari bekalan untuk hidup yang lebih panjang di akhirat nanti. Oleh sebab itu, Nabi sentiasa berdoa supaya Allah tidak menjadikan dunia ini cita-cita utamanya. (Hadis riwayat Tirmizi dengan sanad yang hasan).

Ada ulama seperti Ibn Qudamah yang berpendapat perbuatan ini diharamkan supaya orang miskin tidak sakit hati atau patah hati melihatnya dan boleh membawa kepada hasad dengki. Ada juga yang mengatakan bahawa perbuatan itu ada unsur takabbur, sombong dan melampau. (Lihat: al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, jld. 1, hal. 77, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, al-Qaradhawi, Halam Haram dalam Islam, h.96). Ibn al-Qayyim berpendapat punca pengharaman ini ialah kerana penggunaan ini boleh memesongkan bentuk asal kejadian manusia dan ia akan menafikan sifat pengabdian hamba kepada Tuhannya dengan menjadikan dunia matlamatnya. (Lihat: Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma’ad, jld. 4, hal. 318, Muassasah al-Risalah). Apapun sebabnya ia pasti merupakan perkara negatif sama ada disedari atau tidak. Ini kerana, semua perkara yang diharamkan adalah kerana ia memberikan kesan negatif.

Berhubung bekas-bekas yang disalut dengan emas dan perak, para ulama mazhab Syafie telah memperincikan hukumnya mengikut keadaan berikut (rujuk kitab fiqh mazhab Syafie, juzuk 1):-

►   Tampalan Emas:

Haram secara mutlak

►   Tampalan perak:

1) Jika sedikit dan bukan tujuan perhiasan: harus

2) Jika sedikit dengan tujuan perhiasan: makruh

3) Jika banyak kerana keperluan: makruh

4) jika banyak dan dengan tujuan perhiasan: haram

Hukum ini berdasarkan hadis riwayat ‘Asim al-Ahwal, beliau berkata: ”Aku telah melihat bekas Nabi s.a.w berada di sisi Anas bin Malik. Bekas itu telah pecah dan ditampal dengan perak. Anas menyebutkan bahawa beliau telah memberi minum kepada Rasulullah menggunakan bekas itu begian banyaknya

Marilah kita menjadikan agama sebagai panduan hidup dalam apa jua aspek kehidupan. Jangan lupa bahawa agama tidak pernah meninggalkan penganutnya terkapai-kapai dan meraba-meraba dalam kesesatan. Marilah juga kita mengikut contoh dan sikap yang telah ditunjukkan oleh para sahabat dalam isu ini. Diceritakan dalam hadis riwayat Muslim bagaimana Baginda S.A.W menanggalkan cincin yang berada di jari seorang lelaki dan membuangnya sambil bersabda: “Adakah seseorang itu sengaja mengambil batu api neraka dan diletakan di tangannya”. Apabila Rasulullah meninggalkan majlis itu, ada orang berkata kepada lelaki tersebut: “ambillahcincin itu dan manfaatinya (dengan cara menjual dan lain-lain), Jawab lelaki itu: Tidak! Demi Allah aku tidak akan mengambilnya sedang Rasulullah telah membuangnya.

Dr. Mohd Noor bin Daud

Muhamad Rozaimi Ramle

Jabatan Pengajian Islam,

Fakulti Sains Kemanusiaan,

Universiti Pendidikan Sultan Idris.

1,173 total views, 3 views today

Komentar