Benarkah Kemiskinan Itu Mulia?

Feb 14, 2013 | Akhlaq, Hadis, Status Hadis | 0 comments

Suatu hari saya berkesempatan pergi ke Gerik, Perak untuk memenuhi jemputan Pejabat Agama bersempena program Zakat. Saya ketika itu merupakan Pegawai Baitulmal di salah sebuah daerah di Perak. Ketika program tersebut, saya berkesempatan untuk mendengar satu ceramah dari seorang tuan guru tentang kelebihan kemiskinan berbanding orang kaya. Maka bermacam-macam hadis yang dibaca untuk menggalakkan orang menjadi miskin. Saya agak kurang setuju dengan cara penyampaian tersebut kerana ia seolah-olah ingin menggalakkan orang miskin penerima bantuan zakat terus miskin kerana ia lebih afdal berbanding orang kaya.

Hadis Memuji Orang Kaya
 
Bukanlah martabat saya untuk mengatakan tok guru terbabit salah 100%. Tetapi cara penyampaian yang sebegitu pada saya agak kurang tepat. Sepatutnya ceramah yang diberi bukan hanya membaca hadis-hadis kelebihan kemiskinan tetapi juga perlu diberi motivasi kepada mereka supaya keluarkan diri dan keluarga mereka daripada kemiskinan yang membelenggu diri mereka.
Jangan dilupa bahawa terdapat juga banyak hadis yang memuji orang kaya. Bukankah Uthman ibn Affan dan Abdul Rahman ibn Auf merupakan orang yang kaya di Mekah dan Madinah? Kedua mereka adalah 10 orang yang dijanjikan syurga. Nabi saw juga memuji Amru bin al-As dgn katanya:
يا عمرو نعم المال الصالح للمرء الصالح
Maksudnya: Wahai Amru, alangkah baiknya harta yang baik (apabila diberikan) kepada orang yang salih. (Musnad Ahmad, jld. 4, hlm. 197, dinilai sahih oleh Syuaib al-Arnaut).
Ulasan Terhadap Nas Perlu Tepat
 Pada saya, pembacaan hadis tentang pujian terhadap kemiskinan perlukan kepada ulasan yang benar supaya umat tidak tersalah faham lalu menganggap miskin itu mulia dan kaya itu tidak zuhud dan dibenci syara’. Akhirnya anggapan sebegini akan menyebabkan ekonomi umat Islam lemah. Siapa yang akan membayar zakat? Siapa pula yang akan bersedekah? Siapa pula yang akan membudayakan beri-memberi jika semuanya miskin dan papa? Nabi saw bersabda:
 ( اليد العليا خير من اليد السفلى وابدأ بمن تعول وخير الصدقة عن ظهر غني ومن يستعفف يعفه الله ومن يستغن يغنه الله )
Maksudnya: Tangan yang berada di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang berada di bawah (menerima). Mulakanlah (pemberian) dengan orang yang engkau tanggung (nafkahmu), sebaik-baik sedekah ialah daripada orang kaya, sesiapa yang menahan diri (dari meminta-minta) Allah peliharanya dan sesiapa yang meminta kekayaan (dari Allah) Allah yang kayakan dia.
(Sahih Bukhari, jld. 2, hlm. 518)
Nabi Minta Dijauhkan Dari Kemiskinan
 
Dalam banyak hadis Nabi saw berdoa meminta Allah jauhkannya dari kemiskinan dan kurniakan kekayaan supaya baginda tidak meminta-minta contohnya:

عن عبدالله
: عن النبي صلى الله عليه و سلم أنه كان يقول اللهم إني أسألك الهدى والتقى والعفاف والغنى

Maksudnya: Dari Abdullah Ibn Mas’ud katanya: Nabi saw berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku meminta dariMu hidayah, ketaqwaan, penjagaan maruah dan kekayaan (tidak perlu meminta dari manusia). (Riwayat Muslim)

Justeru, pada saya bukan kaya atau miskin itu yang jadi ukuran tetapi sikap seseorang terhadap keadaan yang dia tempuhi. Jika seorang kaya itu salih sudah pasti dia lebih baik dari miskin yang jahat dan fasik begitu juga sebaliknya.

Manakala hadis sahih yang berbunyi:
اللهم أحييني مسكينا وأمتني مسكينا واحشرني في زمرة المساكين
Maksudnya: Ya Allah, hidupkan aku dalam keadaan miskin, matikan aku dalam keadaan miskin dan kumpulkan aku (di hari kiamat) bersama dengan kumpulan orang-orang miskin. (riwayat Tirmizi, jld. 4, hlm. 577)
Tetapi ia bukan bermaksud Nabi saw ingin menjadi miskin sebaliknya baginda inginkan sifat tawadhu’ yang ada pada kebanyakan orang miskin. (Rujuk: al-Munawi, Faidh al-Qadir, jld. 2, hlm. 152, al-Qari, Mirqat al-Mafatih, jld. 8, hlm. 3282)
Hadis Abdul Rahman Masuk Syurga Merangkak
 
Tidak dinafikan bahawa hadis Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dalam keadaan merangkak masyhur dalam masyarakat kita. Hadis ini dibaca seolah-olah mahu menakutkan orang Islam dari kekayaan. Pada saya, tanpa merujuk kepada sanad pun kita boleh merasakan bahawa hadis ini bermasalah kerana ia merendahkan martabat orang yang Nabi sendiri jamin syurga.
Manakala dari sudut sanad semua riwayatnya tidak terlepas dari komentar ulama hadis. (Rujuk: Ibn Iraq, Tanzih al-Syariah, jld. 2, hlm. 14) Kesimpulannya hadis ini palsu atau paling kurang ia terlalu daif dan tidak boleh dijadikan hujah.
Maka benar kata sesetengah ahli ilmu: Dalil yang benar perlukan pemahaman dan natijah yang benar.
Rozaimi Ramle
Sweileh, Amman, Jordan
8.27 malam
14 Februari 2013

1,570 total views, 4 views today

Komentar