Benarkah Nabi saw dilahirkan sudah berkhitan?

Jan 27, 2013 | Hadis, Status Hadis | 0 comments

Dalam tempoh orang sibuk merayakan hari kelahiran Nabi saw, elok rasanya ana cerita sedikit pandangan ulama terhadap isu khitan Nabi saw. Secara umumnya ulama mempunyai 3 pendapat berhubung isu ini dan ana akan tarjihkan pendapat yang paling kuat. Perlu diingatkan di sini apabila kita menolak sesuatu pandangan ulama bukan bermakna kita tidak zuhud tetapi kita hanya mahu mengamalkan yang terbaik. Ana ringkaskan pandangan tersebut seperti berikut:

1. Sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi saw dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan sudah terputus tali pusatnya. Dalil yang menjadi sandaran mereka ialah:

– “.عن أنس قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: “من كرامتي اني ولدت مختونا ولم ير احد سوأتي

Maksudnya: Antara kemuliaanku ialah aku dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan tiada siapa pun melihat kemaluanku.

– Komentar terhadap hadis: Hadis ini terlalu lemah (daif jiddan) kerana terdapat perawi hadis yg bernama Sufyan bin Muhammad al-Massisi. Berikut komentar jaguh-jaguh hadis terhadap kedudukan beliau dalam periwayatan hadis:

i. Kata Ibn Hibban: Tidak halal berhujah dengan hadis riwayatnya. (Rujuk: Kitab al-Majruhin, jld. 1, hlm. 395, al-Ilal al-Mutanahiah, jld. 1, hlm. 171)
ii. Kata Ibn Adiyy: Dia seorang pencuri hadis, melakukan taswiah (menggugurkan perawi lemah) dalam sanad hadis dan sebahagian hadis riwayatnya palsu. (Rujuk: al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 3, hlm. 419)

– عبد الله بن عباس عن أبيه العباس بن عبد المطلب قال ولد رسول الله صلى الله عليه وسلم مختوناً مسروراً

Maksudnya: Dari Ibn Abbas, dari ayahnya (al-Abbas): Nabi saw dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan sudah terputus tali pusatnya.

Komentar terhadap hadis: Hadis ini daif.

– Kata Ibn Abd al-Barr: Sanad hadis al-Abbas ini tidak kukuh (daif). (Rujuk: al-Isti’ab, jld. 1, hlm. 17)
– Ini kerana terdapat perawi yang bernama al-Khabairi dlm sanad hadis ini dan dia dituduh sebagai pendusta. (Rujuk: Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, jld. 13, hlm. 578)

2. Sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi saw dikhitankan oleh Abdul Muttalib. Dalil bagi pendapat ini ialah:

عن ابن عباس أن عبد المطلب ختن النبي صلى الله عليه وسلم يوم سابعه وجعل له مأدبة وسماه محمداً صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Daripada Ibn Abbas katanya: Sesungguhnya Abdul Muttalib yang mengkhitankan Nabi saw pada hari ketujuh kelahirannya, dan dia menyediakan makanan (kenduri) dan menamakannya Muhammad saw.

Komentar terhadap hadis: Hadis ini daif disebabkan dua illah (cacat):

1. Ia riwayatkan Muhammad bin Abi al-Sariyy. Beliau daif pada Abu Hatim dan Ibn Adiyy. Ibn Hajar menyatakan beliau soduq tetapi mempunyai kesilapan (صدوق له أوهام).  Barangkali hadis ini antara kesilapan bleliau. (Rujuk: al-Jarh wa Ta’dil, jld. 8, hlm. 105, al-Kamil, jld. 6, hlm. 123, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 504)
2. Hadis ini tidak diriwayatkan dengan jalur lain. Maknanya beliau bertafarrud dalam meriwayatkan hadis ini. (Rujuk: al-Tamhid, jld. 21, hlm. 61)

3. Sebahagian ulama berpendapat bahawa malaikat yang mengkhitankan Nabi saw pada waktu peristiwa belah dada. Dalil mereka:

عن أبي بكرة :
إن جبريل خَتَنَ النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حين طهر قلبه

Maksudnya: Jibril mengkhitankan Nabi saw ketika menyuci jantungnya.

– Komentar terhadap hadis: Hadis ini daif kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Rahman bin ‘Uyaynah al-Basri, Maslamah bin Muharib al-Ziyadi dan ayahnya (Muharib) adalah perawi yang tidak dikenali. (Rujuk: Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, jld. 13, hlm. 578)

Kesimpulannya, tiada hadis sahih atau hasan berhubung perkara ini. Jadi, tidak seharusnya kita mengaitkan kisah ini kepada baginda. Ini kerana lahir dalam keadaan berkhitan dan terputus tali pusat bukanlah suatu keistimewaan yang perlu dibanggakan sebaliknya ia merupakan satu penghinaan. Buktinya seperti berikut:

1. Ummu Salamah ra berkata:

ابن صياد ولدته أمه أعور مختونا مسرورا

Maksudnya: Ibn Sayyad (seorang yahudi yang disangka Dajjal oleh sebahagian sahabat) dilahirkan dalam keadaan buta sebelah mata dan telah berkhitan dan terputus tali pusatnya.

– al-Busiri berpendapat bahawa perawi hadis ini tsiqah. al-Albani menilainya sahih. (Rujuk: Ithaf al-Khiarah, jld. 8, hlm. 124, Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, jld. 13, hlm. 586)

2. Diceritakan bahawa salah seorang Maharaja Rom juga dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan dia dikutuk oleh Imru’ al-Qais. (Rujuk: Tuhfatul Maudud, hlm. 205)

Oleh sebab itu, Ibn al-Qayyim berpandangan bahawa Nabi saw dikhitankan seperti bayi-bayi arab yang lain. Maka tiada riwayat yang sahih dalam isu ini kerana berkemungkinan amalan khitan ini amalan biasa yang tidak perlu untuk diceritakan. (Rujuk: Zad al-M’aad, jld. 1, hlm. 80)

Rozaimi Ramle
Sweileh, Amman
27 Januari 2013

1,051 total views, 3 views today

Komentar