Benarkah tiada jihad jika bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin?

Dec 5, 2012 | al-Quran, Ilmu, Jihad | 0 comments

Heboh diperkatakan baru-baru ini bahawa ada seorang ustaz mengeluarkan fatwa bahawa tiada jihad apabila bilangan tentera musuh (kuffar) melebihi dua kali ganda bilangan tentera Muslim atau dengan kata lain bilangan musuh melebihi bilangan tentera Muslim dengan nisbah 2:1. Saya mengulas pandangan ustaz terbabit seperti berikut:

1. Ayat yang mungkin dijadikan asas oleh ustaz berkenaan untuk menyokong pandangannya ialah firman Allah dalam surah al-Anfal (65-66):

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ يَغْلِبُواْ أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَفْقَهُونَ(65) الآنَ خَفَّفَ اللّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُواْ أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللّهِ وَاللّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ(66)

Maksudnya:

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.

Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.

2. Sebenarnya ayat ini bukanlah bermaksud membatalkan jihad jika bilangan tentera musuh melebihi 2 kali ganda. Sebaliknya ayat ini hanya menyatakan bahawa jika bilangan tentera musuh melebihi 2 kali ganda tentera Muslimin boleh berundur dari medan peperangan. Inilah yang difahami daripada ayat di atas. Berikut adalah komentar ulama terhadap ayat di atas:

i. Tafsir Ibn Abbas

فكتب أن لا يفر مائة من مائتين

Maksudnya: Allah mewajibkan 100 orang tentera (Muslimin) tidak boleh lari (meninggalkan medan jihad) jika bilangan tentera musuh 200 orang.

الشوكاني، فتح القدير، ج2، ص472

ii. Komentar Ibn Jawzi

والمراد يقاتلوا مائتين وكان هذا فرضا في أول الأمر ثم نسخ بقوله: الآن خفف الله عنكم ففرض على الرجل أن يثبت لرجلين فان زادوا جاز له الفرار

Maksudnya: Yang dimaksudkan (daripada ayat di atas) ialah: Mereka (org Muslimin yang berjumlah 20 orang) mesti bertempur dengan 200 tentera kafir itu, dan perintah ini adalah fardhu (wajib) bagi permulaannya. Kemudian perintah ini dinasakhkan (dibatalkan) dengan firman Allah: “Sekarang Allah meringankan daripada kamu” maka Allah wajibkan ke atas seorang lelaki (Muslim) untuk tetap bertempur dengan dua orang kafir dan apabila mereka (kafir) melebihi dari itu maka dibenarkan Muslim itu beredar dari pertempuran.

ابن الجوزي، زاد المسير، ج3، ص378

iii. Komentar al-Syaukani

قال سفيان وقال ابن شبرمة : وأرى الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر مثل هذا إن كانا رجلين أمرهما وإن كانوا ثلاثة فهو في سعة من تركهم

Maksudnya: Kata Ibn Syubrumah: Aku berpandangan bahawa proses Amar makruf dan Nahi Munkar seperti ini (iaitu seperti bilangan jihad juga) jika orang kafir itu bilangannya 2 orang maka dia boleh menyeru mereka berdua, tetapi jika bilangan mereka 3 orang dan ke atas maka dia mempunyai ruang (kebebasan) untuk meninggalkan mereka

الشوكاني، فتح القدير، ج2، ص472

iv. Komentar al-Qastallani

والحاصل أنه يحرم على المقاتل الانصراف عن الصف إذا لم يزد عدد الكفار على مثلينا فلو لقي مسلم كافرين فله الانصراف وإن كان هو الذي طلبهما لأن فرض الجهاد والثبات إنما هو في الجماعة

Maksudnya: Kesimpulannya ialah diharamkan ke atas mujahid untuk beredar meninggalkan medan jihad apabila bilangan tentera tidak melebihi 2 kali ganda bilangan tentera Muslimin. Jika seorang Muslim bertempur dengan 2 orang kafir maka dia boleh meninggalkan mereka (dengan syarat) jika dia (Muslim) yang memulakan peperangan kerana kefarduan jihad dan bertahan di medan jihad hanyalah untuk jemaah.

القسطلاني، شرح صحيح البخاري، ج7، ص138

v. Komentar Syed Tantawi

ورخص له فى الفرار إذا كان العدو أكثر من اثنين .

Maksudnya: Diberikan rukhsah (keringanan) bagi seorang tentera Muslim untuk beredar dari medan jihad jika bilangan musuh melebihi 2 orang.

سيد الطنطاوي، تفسير الوسيط، ج1، ص1866

3. Setelah meneliti komentar-komentar ulama di atas, dapat saya simpulkan bahawa mereka bersepakat mengatakan bahawa ayat itu adalah rukhsah bagi tentera Muslimin meninggalkan medan jihad jika bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin dan jihad itu pula adalah serangan tentera Muslimin ke atas negara musuh. Namun, apabila musuh menyerang negara Islam maka wajib ke atas ummat Islam mempertahankannya.

4. Bukanlah bermaksud jihad menjadi haram@tidak syar’ie apabila bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin. Bahkan kelebihan mati syahid masih lagi terbuka kepada mereka dalam keadaan ini buktinya Nabi saw telah menghantar tentera untuk berjihad di Mu’tah walaupun bilangan tentera Kafir (200, 000 orang) melebihi 3 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin (3 ribu orang). (lihat: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 362)

5. Perlu diketahui bahawa peperangan Mu’tah pada tahun ke 8 hijrah dan ayat 65-66 dari surah al-Anfal tadi diturunkan selepas peperangan Badar. Ini bermakna ayat ini telah turun ketika Nabi menghantar tentera ke Mu’tah. Justeru, ini membuktikan bahawa jihad masih syar’ie walaupun bilangan tentera Kafir melebihi 2 kali ganda daripada bilangan tentera Muslimin cuma orang Muslimin diberikan rukhsah untuk meninggalkan medan sahaja.

6. Justeru bagi saya, jihad orang Palestin melawan Yahudi masih syar’ie bahkan mereka lebih beruntung dari kita semua kerana mempunyai ruang untuk berjihad dan mati syahid tambahan pula mereka berjuang mempertahankan tanah air mereka. Jihad adalah wajib bagi mereka. Wallahua’lam

Muhamad Rozaimi Ramle
5 Disember 2012
Sweileh, Amman, Jordan

1,759 total views, 6 views today

Komentar