Mengambil Berkat Di Telaga Mahsuri?

Sep 24, 2012 | Aqidah, Ilmu | 0 comments

Syarat Amal Soleh

Seringkali kita mendengar para ustaz dan ustazah berceramah di stesen televisyen atau kuliah di masjid-masjid menceritakan tentang kepentingan amal soleh. Berbagai-bagai cerita yang dibawa kepada kita untuk menunjukkan betapa pentingnya peranan amal soleh dalam kehidupan kita. Mungkin ada yang tahu tentang amal soleh ini, mungkin juga ada tidak tahu, bahkan ada juga yang tidak mahu ambil tahu. Sedangkan amalan ini merupakan suatu perkara yang dianjurkan oleh Pencipta segala makhluk sepertimana yang diceritakan di dalam al-Qur’an (maksudnya): “Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi selama enam hari, dan (sebelum menciptakan langit dan bumi itu) Arasynya berada di atas air, untuk menguji (daripada penciptaan itu) siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya, dan jika kamu mengatakan (wahai Muhammad) bahawa kamu semua akan dibangunkan semula (pada hari kiamat) selepas kamu semua mati nescaya mereka (orang-orang musyrik) akan mengatakan bahawa ia adalah merupakan sihir yang nyata”(Surah Hud , ayat 7). Allah menjadikan manusia di atas muka bumi ini adalah sebagai satu ujian untuk melihat siapakah yang paling baik amalannya. Inilah yang dinamakan amal soleh. Imam Ibn Kathir (meninggal 774 Hijrah) menyatakan : “Sesuatu amalan tidak akan menjadi amal soleh melainkan ia dilakukan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T dan ia dilakukan sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W” (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, jld. 4, hal. 303, Cetakan Ke-2, Dar Taiyyibah, 1420H/1999M). Apabila salah satu daripada syarat ini hilang daripada amalan, maka amalan akan dikira terbatal dan gugur (tidak memberi pahala).

Sesuatu amalan yang dilakukan tidak dinamakan amal soleh kecuali ia dilakukan kerana Allah S.W.T dan mengikut cara dan tunjuk ajar oleh Nabi S.A.W. Kepentingan amal soleh ini dapat dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam al-Qur’an (maksudnya):“Barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki atau wanita dalam keadaan dia beriman, maka Kami akan kurnikan kepadanya kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami akan berikannya ganjaran di atas apa yang mereka telah lakukan”. (Surah al-Nahl , ayat 97)

Amalan Soleh Untuk Diri Sendiri

Dua syarat amal soleh yang diceritakan tadi amat penting untuk menjadikan suatu amalan diterima disisi Allah S.W.T. Islam menggariskan panduan kepada penganutnya untuk beramal. Setiap manusia perlu beramal untuk bekalan dirinya di akhirat kelak. Tidak kira samada dia merupakan pemimpin negara atau rakyat biasa, Menteri atau tukang sapu, semuanya perlu beramal untuk kesenangan dan keselesaan hari akhiratnya. Semuanya perlu mengikut aturan dan undang-undang agama dalam beramal. Setiap muslim perlu beramal dengan dirinya sendiri untuk mendapatkan ganjarannya, begitu juga seseorang tidak akan dipertanggungjawabkan dengan kesalahan orang lain. Ini disebutkan di dalam al-Qur’an (maksudnya): “Barangsiapa yang beramal soleh maka baginya ganjaran, dan barangsiapa yang berbuat kejahatan maka baginya balasan”(Surah Fussilat, ayat 46). Ini merupakan kaedah di dalam Islam. Malangnya apa yang berlaku hari ini berbeza. Amal soleh diabaikan oleh kebanyakan muslimin. Agama dipandang hanyalah untuk golongan ustaz dan pak lebai. Pada pandangan mereka, ustaz dan pak lebai sajalah yang sepatutnya beramal soleh.

Golongan Agamawan dan Kiriman Doa

Sehinggakan jika golongan yang mereka anggap golongan agamawan ini melakukan perkara makruh pun mereka nampak seperti haram. Mereka tidak sedar bahawa kewajipan amal soleh ini adalah untuk semua. Setiap muslim mukallaf tidak dikecualikan untuk beramal. Ini merupakan asas yang harus difahami oleh setiap individu yang mengaku bahawa dirinya muslim. Tidak dinafikan bahawa doa daripada orang lain memberikan sedikit manfaat, tetapi ini tidak bermakna seseorang yang didoakan tidak perlu untuk beramal dan hanya merasa cukup dengan doa yang diberikan kepadanya. Sesekali Islam tidak pernah bermaksud untuk melepaskan muslim daripada beramal apabila mensyariatkan doa untuk orang lain ini. Inilah yang menjadi punca kepada kelemahan ummat pada hari ini. Pak imam dijemput berdoa di rumahnya sedangkan orang yang didoakan sibuk menceduk gulai kenduri. Lebih malang lagi apabila ahli kariah sesebuah kampung tidak mengenali imam masjid di kampungnya. Ini berlaku apabila mereka tidak teringin untuk datang ke masjid kecuali apabila berlaku kematian di rumah mereka, itupun hanya untuk menjemput imam membaca tahlil di rumah mereka dengan harapan ia akan menjadi kiriman pahala untuk si mati. Inikah Islam yang mereka faham?Adakah memadai dengan kenduri dan doa pak imam dapat membebaskan si mati daripada azab sedangkan ahli keluarga si mati sibuk menceduk gulai di dapur waktu imam membacakan doa?

Ketahuilah, bahawa doa yang dikirim walaupun bermanfaat tetapi ia semata-mata tidak mencukupi untuk menjadi bekal bagi mencapai rahmat Allah. Sirah Nabi telah membuktikan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri beramal untuk mendapatkan rahmat Allah. Juga Abu Talib yang didoakan Rasulullah S.A.W tidak terlepas daripada azab neraka kerana tidak beriman dan beramal. Apabila kepercayaan ini telah terpahat lama di dalam hati masyarakat, suatu fenomena muncul sebagai kesan daripadanya. Nabi S.A.W bersabda (maksudnya): “Barangsiapa yang lambat (iaitu sedikit) amalannya (waktu hidupnya), amalannya tidak dapat sama sekali dipercepatkan (diperbanyakkan) oleh warisnya (setelah kematiannya)”. (Hadis riwayat Muslim, no hadis: 7028)

Menambil Berkat Sebagai Ganti Amalan

Tidak cukup dengan itu, kita melihat masyarakat hari ini pergi ke tempat-tempat tertentu yang dianggap suci untuk mendapat berkat. Saya bercuti ke Langkawi tahun lalu. Saya dapati ramai di kalangan masyarakat melayu meminum air telaga Mahsuri dengan tujuan tertentu. Ada juga pengunjung yang memandikan anak mereka dengan air telaga itu dengan alasan mengurangkan kenakalan anak mereka itu. Dua soalan terbit dari fikiran saya. Pertama, adakah benar ini memang telaga Mahsuri yang telah dibuktikan atau ia hanya hearsay (cakap-cakap) orang?. Kedua, adakah perkara seperti ini dianggap sebahagian daripada ajaran Islam? Umar al-Khattab telah memberikan keterangan yang jelas dalam perkara ini ketikamana beliau mencium al-Hajar al-Aswad: “Sesungguhnya aku mengetahui engkau adalah batu yang tidak memberikan mudarat dan manfaat, aku tidak akan menciummu kalau tidak kerana aku melihat Rasulullah S.A.W menciummu”. (Riwayat Bukhari daripada ‘Abis bin  Rabi’ah, Hadis No. 1597) Suci atau tidak sesuatu tempat adalah hak mutlak Allah S.W.T. Inilah akidah yang selamat bagi setiap muslim. Umar menjelaskan kepada kita bahawa al-Hajar al-Aswad dicium hanya kerana perintah Rasulullah S.A.W. Jika tidak kerana perintah tersebut, ia juga tidak berhak untuk dicium oleh para jemaah haji dan umrah. Tidak pernah diriwayatkan daripada sahabat Rasulullah S.A.W bahawa telaga Mahsuri akan memberikan manfaat tertentu kepada peminumnya atau yang mandi dengan airnya. Syirik akan berlaku jika peminumnya atau yang mandi dengan airnya menganggap ia akan memberikan manfaat atau menolak mudarat. Saya telah jelaskan tadi bahawa amal ibadat dalam Islam harus mengikut contoh yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Apabila tidak terdapat dalil yang mengatakan bahawa perigi atau apa saja yang berkait dengan Mahsuri mempunyai kelebihan tertentu, maka jelas bahawa setiap perbuatan mengambil berkat daripadanya adalah bidaah yang dilarang.

Lihatlah betapa bahayanya kesan amalan ini. Ini semua berlaku natijah daripada kepercayaan atau anggapan bahawa agama adalah milik golongan pak ustaz dan pak lebai, mereka sahaja yang perlu beramal soleh, orang awam hanya perlu mengambil berkat daripada doa, telaga atau kubur mereka sahaja. Demi sesungguhnya Rasulullah S.A.W diutuskan untuk menyampaikan agama kepada setiap manusia tidak kira apa pun statusnya, pak lebai ataupun orang biasa. Setiap muslim wajib beramal untuk dirinya sebagai bekalan bagi dirinya untuk hidup di alam akhirat. Saya menyeru pihak berkuasa agar melakukan pemantauan terhadap pengunjung yang datang ke telaga Mahsuri untuk melindungi akidah mereka dan menjauhkan amalan mereka daripada perbuatan bidaah.

Muhamad Rozaimi bin Ramle,

Pensyarah, Jabatan Pengajian Islam,

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

1,554 total views, 6 views today

Komentar